Monday, October 26, 2009

Dengan kalimah Bismilah,aku melangkah...



Bismillah
Aku ikuti perkembangan sebuah syarikat pengurusan kewangan,Hijrah Wealth Managers.Sedikit sebanyak impianku ingin membuka syarikat seperti ini sedikit demi sedikit membakar jiwaku.So aku kongsi sedikit tentang siapa sebenar salah seorang 'Pencetus semangat' pedagang kali ini,iaitu Pengerusi Eksekutif Hijrah Wealth Managers,Hajjah Rohani Mohd Shahir..(wanita plak tuh..hehe)

Tajuk berita:Rohani Pelapor Dana Amanah Islam
tarikh:4 Mei 2007
Sumber: Keratan Akhbar dari Utusan Malaysia

Perancangan kewangan Islam amat perlu kerana setiap apa yang ada adalah milik Allah s.w.t dan akan disoal di akhirat kelak, bagaimana diperoleh dan bagaimana dibelanjakan.

Justeru, umat Islam harus bersedia meneroka dunia kewangan Islam kini yang mengajak manusia untuk menjadi perancang kewangan yang terbaik. Semangat itulah yang diambil oleh Pengerusi Eksekutif Hijrah Wealth Managers, Rohani Mohd. Shahir yang merupakan perintis di dalam amanah saham Islam. Beliau adalah akauntan bertauliah dari Australia dan pernah bertugas di sebuah bank tempatan selama lapan tahun di samping pernah bertugas sebagai Pengarah Urusan di sebuah syarikat pengurusan dana Islam di ibu negara.

Wartawan MOHD. SAIFUL MOHD. SAHAK dan jurufoto AZLI AHAD berkunjung ke pejabatnya di Taman Sri Ukay Ampang, Selangor, baru-baru ini untuk berkongsi rahsia kejayaan perniagaan kewangan Islam beliau.

Penasihat kewangan islam

UTUSAN: Boleh puan ceritakan latar belakang syarikat dan perniagaan?

ROHANI: Dalam tahun 1998, saya menubuhkan sebuah syarikat Pengurusan Dana Islam, Hijrah Unit Trust Management Berhad dan melancarkan Amanah Saham Wanita (Asnita).

Dalam rangka program pemasaran Asnita - saya dapati kadar celek pelaburan agak rendah di kalangan masyarakat umum khususnya di luar bandar.

Di sini tercetusnya idea untuk menyampaikan ilmu perancangan kewangan Islam sebelum memasarkan produk kewangan. Hijrah Unit Trust menaruh harapan menjadi satu-satunya syarikat amanah saham yang hanya mengeluarkan produk saham amanah berlandaskan syariah. Walau bagaimanapun, bak kata pepatah langit tidak selalunya cerah, rambut sama hitam hati lain-lain.

Atas desakan rakan kongsi, saya menjual saham saya dan memulakan penghijrahan dengan menubuhkan HIJRAH Strategic Adisory Group Sdn. Bhd.

Apakah fokus perniagaan puan ketika itu?

ROHANI: Syarikat ini ditubuhkan pada tahun 2000 bertujuan memenuhi permintaan terhadap minat dan kesedaran kepada instrumen-instrumen kewangan Islam. Ketika itu, operasi atau perniagaan utama adalah memberi perkhidmatan latihan dan akademik. Selain itu, ia juga menawarkan perkhidmatan perunding, penasihat, penganalisa, penyelidik, penulis, penceramah dan penasihat perancang kewangan berdasarkan syariah.

Syarikat kami adalah pelopor dalam Perancangan Kewangan Islam yang menghasilkan Program Sijil Perancangan Kewangan Islam (IFPC). Sijil ini diiktiraf oleh Pertubuhan Perancangan Kewangan Islam Malaysia (FPAM).

IFPC adalah Modul Perancangan Kewangan Islam yang pertama bukan sahaja di Malaysia malah di dunia. Penggunaan teknik ‘Kubah Kehidupan’ dan ‘Management Qalbu’ telah banyak memberi kesan dalam memahami Islam ke arah mencapai kejayaan di dunia dan di akhirat.

Selaras dengan perkembangan syarikat, kami mula diiktiraf oleh organisasi-organisasi negara jiran. Mereka mahu bekerjasama mengembangkan Perancangan Kewangan Islam dan program-program yang menyemai nilai-nilai Islam dalam kehidupan.

Sepanjang menjalankan perniagaan dalam bidang baru ini, apakah cabaran yang puan lalui?

ROHANI: Banyak cabarannya. Selain menjelaskan kepada masyarakat tentang keperluan merancang kewangan secara Islam, masalah lain seperti hala tuju syarikat, persefahaman antara rakan pemegang saham, kepakaran yang berbeza -beza, tahap komitmen yang tidak seimbang dan bermacam lagi.

Saya sentiasa berdoa kepada Allah s.w.t agar memberi pertunjuk dan panduan untuk membuat sebarang keputusan. Sudah pasti akan ada yang gugur di pertengahan jalan dan membawa hala tuju bagi mencapai matlamat diri masing-masing.

Ada hikmah di sebalik itu. Dengan penghijrahan mereka akan wujud lebih ramai usahawan yang berjaya berdikari. Alhamdulillah dengan sokongan rakan kongsi saya dan juga Ketua pegawai Eksekutif, Mahdzir Md. Isa, kami kini lebih memfokuskan kepada perniagaan yang berdaya saing.

Apakah jenis perniagaan yang dijalankan oleh syarikat puan sekarang?

ROHANI: Kini Hijrah bertukar wajah dengan penjenamaan baru iaitu Hijrah Wealth Managers. Ia adalah syarikat yang menjalankan perniagaan memfokuskan soal perancangan dan pengurusan kewangan Islam bagi keperluan individu dan syarikat-syarikat yang memerlukannya.

Apakah kepakaran instrumen kewangan yang terdapat dalam syarikat ini?

ROHANI: Kepakaran kami adalah memenuhi keperluan kewangan orang Islam dan bukan Islam, Kami merupakan sebuah syarikat Islam yang menyediakan instrumen perancangan kewangan yang mengikut kesesuaian individu atau syarikat. Tujuannya membantu para pelanggan mencapai matlamat kewangan mengikut syariah dan lunas-lunas dalam setiap aspek perancangan.

Ini termasuk perancangan persaraan, pendidikan, pelaburan, perancangan harta, Takaful (Insurans Islam), Hibah (Hadiah), Amal Jariah (Perancangan kebajikan), Perancangan zakat, perancangan cukai serta perancangan dalam menulis surat wasiat.

Kenapa syarikat puan memfokuskan perniagaan yang berorientasikan perkhidmatan sedangkan banyak perusahaan lain boleh dibangunkan?

ROHANI: Kewangan Islam adalah satu perancangan mengurus sumber yang terhad untuk mencapai matlamat kewangan. Kebanyakan umat Islam khususnya orang Melayu tidak suka merancang kewangan kerana merasakan bahawa perkara itu tidak mendatangkan manfaat kepada mereka.

Namun apabila kita melihat syarikat dan bangsa asing mereka sudah merancang kewangan keluarga mereka semenjak anak-anak masih kecil. Maka kita perlu beringat dalam melakukan sesuatu yang dapat memanfaatkan kesenangan bukan hanya untuk masa terdekat tetapi untuk jangka masa panjang.

Tanggungjawab itulah mendorong kami membuka perniagaan prospek baru untuk memberi input dan maklumat kepada usahawan Islam, individu dalam merancang kewangan mereka.

Apakah matlamat perniagaan ini terutama dalam membantu umat Islam dalam celik kewangan?

ROHANI: Perkara pertama adalah dengan memastikan setiap umat Islam di Malaysia didedahkan dengan ilmu pengurusan kekayaan supaya lebih teratur. Ia penting untuk membantu mereka supaya celik kewangan agar dapat mengurus kekayaan mengikut ajaran Islam.

Islam menekankan pengurusan kekayaan kerana kita dituntut untuk masuk ke dalam Islam secara keseluruhan termasuklah dalam urusan kewangan bagi mengelak unsur riba.

Kedua, bagi memastikan umat Islam dapat menangani masalah kemiskinan yang disebabkan oleh kegagalan dalam mengurus kewangan. Ia membawa kesan negatif kepada masyarakat.

Dalam pada itu, apabila kita celik kewangan, orang Melayu dan Islam dapat mengelakkan diri daripada sifat-sifat mementingkan diri, pembaziran, materialisme, keangkuhan dan sifat negatif yang berlaku secara terang-terangan.

Apabila masyarakat mengetahui tentang dunia kewangan yang tepat mereka dapat merancang pendapatan dan perbelanjaan mereka dengan lebih sistematik.

Apakah hala tuju perjalanan syarikat dalam industri perkhidmatan kewangan Islam?

Rohani: Dalam perancangan jangka pendek kami merancang melatih 100 orang pelatih perancang kewangan Islam di kalangan siswazah menganggur di bawah skim pembiayaan usahawan dengan agensi kerajaan seperti Majlis Amanah Rakyat (Mara).

Dalam jangka panjang, kami merancang membangunkan sebuah pusat perundingan setempat bagi memperluaskan operasi dengan tujuan untuk memberi kemudahan kepada pelanggan dalam memberi khidmat nasihat secara menyeluruh.

p/s:Keinginanku membuak-buak untuk terus melangkah pabila beberapa orang 'pencetus semangat'ku sentiasa menyuntik diriku agar terus maju berusaha mengapai cita-cita dan impianku.Segala cabaran dan rintangan ku hirup dengan penuh nikmat ,moga kepahitan bisa menjadi ubat penyembuh luka sepanjang jalan ke sana..

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...